SEDIHNYA...

Mangsa disyaki dijangkiti kuman

21 Jan 2012 AMPANG: Dua bayi yang meninggal dunia di sebuah pusat asuhan di Taman Permata, di sini, kelmarin disyaki terkena jangkitan kuman yang belum dikenal pasti jenisnya.
Difahamkan, sampel darah kedua-dua mangsa berusia tiga dan tujuh bulan itu sudah diambil dan dihantar ke makmal bagi pemeriksaan lanjut.

Ketua Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Azman Abu Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti kemungkinan punca boleh dikaitkan dengan kematian kedua-dua dua bayi itu.
“Kami juga sudah mengeluarkan arahan kepada pemilik pusat asuhan itu agar memberhentikan operasinya buat sementara bagi membolehkan kami menjalankan pemeriksaan terperinci dari segenap segi di premis itu sementara menunggu laporan penuh bedah siasat dikeluarkan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Kami terpaksa mengkaji segala aspek kemungkinan berlaku jangkitan kuman. Pasukan ditugaskan bukan saja perlu meneliti aspek kesihatan pemilik serta petugas pusat asuhan itu malah tahap kebersihan premis,” katanya.

Menurutnya, pasukan khas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan berhubung kes itu turut mengambil beberapa sampel untuk dikaji dan mengumpul segala maklumat melalui pemantauan yang dilakukan.
“Pemantauan itu kerana kami bimbang kemungkinan wujud kuman yang boleh menjadi punca kematian bayi terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kes dua kematian serentak dari pusat penjagaan yang sama sesuatu yang agak pelik menyebabkan pihaknya diarahkan membuat siasatan terperinci bagi mengkaji segala kemungkinan yang menyebabkan kejadian itu.

No comments: